PENAMPANG, 3 Mei– Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menembusi pasaran antarabangsa menerusi fasilitasi perdagangan serta kerjasama antara kerajaan rantau ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa lain.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata bagi merealisasikan aspirasi itu, KUSKOP menerusi Perbadanan Usahawan Kecil Sederhana (SME Corp) Malaysia akan menganjurkan SME Venture @ ASEAN 2025 pada 16 hingga 18 Oktober depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.