KUALA LUMPUR, – Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyambut baik usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperkukuh akses pembiayaan serta sokongan bersasar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berdepan cabaran operasi.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Malik Abdullah berkata, akses kepada pembiayaan amat penting ketika perniagaan berdepan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan global dan tekanan terhadap margin keuntungan.
Menurut beliau, KUSKOP menyasarkan pembiayaan sehingga RM15 bilion tahun ini, dengan kira-kira RM9 bilion telah diluluskan dan disalurkan setakat 31 Julai, sekali gus memanfaatkan sekitar 250,000 usahawan di seluruh negara.
“Kami menghargai kesungguhan YB Steven Sim dan KUSKOP memastikan pembiayaan yang mencukupi tersedia untuk perniagaan Malaysia.
“Akses kepada pembiayaan kekal antara bentuk sokongan paling penting kepada PKS, sama ada untuk menghadapi kesukaran sementara atau mengembangkan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.