BAU, – Agensi pembiayaan dan pembangunan usahawan diminta supaya lebih giat turun padang bagi mengenal pasti peniaga kecil dan usahawan luar bandar yang memerlukan bantuan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank, Bank Rakyat dan SME Corp perlu melaksanakan pendekatan ‘outreach‘ atau jerayawara bagi mendekati golongan berkenaan.
“Usahawan (yang memerlukan) harus dicari dan tidak hanya menunggu mereka tampil mendapatkan bantuan.
“(Sebab itu), pendekatan turun padang menerusi program ‘outreach‘ dan ‘roadshow‘ perlu dipergiat bagi mengenal pasti peniaga kecil serta usahawan kampung yang memerlukan bantuan. Seterusnya, menyalurkan sokongan yang bersesuaian kepada mereka, ” katanya.
Sim berkata, pendekatan seumpama itu penting bagi memastikan usahawan bukan sahaja mendapat akses kepada pembiayaan, malah bantuan pembangunan kapasiti dan pasaran.