KUALA LUMPUR, – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu memperkukuh struktur organisasi bagi memastikan bantuan kerajaan dimanfaatkan secara optimum, sekali gus menjamin kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
Pengasas dan Presiden Kumpulan Syarikat ANNEMS, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron berkata, bantuan kerajaan termasuk insentif dan kemudahan pembiayaan mampu membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan.
“Sebenarnya, apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan oleh kerajaan, kita terima dengan baik kerana sedikit sebanyak dapat memudahkan urusan dan kita anggap sebagai rezeki.
“Namun, sebagai usahawan yang mempunyai organisasi dan menjalankan perniagaan, kita perlu memastikan jualan sentiasa berada pada tahap yang baik.
“Untuk mencapai jualan yang tinggi, organisasi perlu diperkukuh supaya aliran tunai perniagaan dapat dikekalkan dan perniagaan mampu bertahan dalam jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas Biz Malaysia pada Rabu.