KUALA LUMPUR, – Usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) disaran untuk mengurus perancangan percukaian dan kewangan dengan lebih teratur, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai insentif menerusi Belanjawan 2027.
Pakar Percukaian dan Fellow Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Services, Dr. Mohd Fairuz A. Razak berkata, keupayaan perniagaan untuk bertahan dan kekal bersaing bergantung kepada sejauh mana peniaga mengurus maklumat akaun mereka dengan tepat.
“Peniaga perlu membuat pelaporan cukai yang betul kerana ia penting walaupun mereka tidak dikenakan cukai untuk dibayar.
“Melalui pelaporan yang tepat, peniaga berpeluang mendapatkan Sijil Pematuhan Cukai (TCC), yang boleh membantu memudahkan permohonan bantuan, geran atau kemudahan pinjaman.
“Pada masa yang sama, pelaporan cukai yang teratur mencerminkan pematuhan terhadap tanggungjawab percukaian dan sumbangan kepada pembangunan negara,” katanya kepada RTM.