KUALA LUMPUR, – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan tempoh kelulusan permohonan pembiayaan modal kerja kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dipendekkan kepada tiga hari berbanding lima hari ketika ini.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi pengurangan karenah birokrasi, termasuk mengurangkan jumlah dokumen yang perlu dikemukakan oleh pemohon.
Menurutnya, langkah berkenaan dapat membantu PMKS memperoleh modal kerja dengan lebih cepat bagi memenuhi keperluan aliran tunai perniagaan, sekali gus memperkukuh ekosistem pembiayaan PMKS.
“Kita mahu mengurangkan birokrasi yang tidak perlu kerana dokumen yang banyak dan tempoh kelulusan yang mengambil masa agak lama. Selepas ini, kita hanya akan minta dokumen asas sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Pembiayaan dan Pertumbuhan PMKS di sini hari ini, yang turut menyaksikan pelancaran Platform Digital Baharu Pembiayaan Rantaian Bekalan Planworth milik Planworth Global Factoring Sdn. Bhd.