KUALA LUMPUR, – Bangunan Tunas Utama milik UDA Holdings Berhad (UDA) yang berusia lebih 40 tahun kini diberi nafas baharu menerusi pembangunan semula sebagai Chinatown 1974, sebuah ruang komersial di Jalan Petaling.
Chinatown 1974 mengetengah konsep “Moving Through Time”, berinspirasi suasana Chinatown Kuala Lumpur era 1970-an dalam sentuhan moden. Bangunan lapan tingkat itu menempatkan lapan perniagaan dalam sektor makanan dan minuman, kesejahteraan dan hospitaliti.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, transformasi bangunan yang mula beroperasi pada 1983 itu membuktikan aset lama masih boleh dimanfaatkan secara produktif dengan menyesuaikannya mengikut cita rasa serta keperluan pasaran semasa.
“Tanpa disedari, saya telah membangkitkan mengenai Chinatown 1974 selepas melihatnya tular di TikTok baru-baru ini. Saya menjadikan projek ini sebagai contoh bagaimana UDA boleh mencungkil nilai dan potensi aset sedia ada.
“Bangunan berkonsep sejarah berusia lebih 40 tahun telah tidak dihuni selama lima tahun berikutan COVID-19. Rupanya, projek yang tular itu merupakan projek UDA sendiri, sekali gus amat membanggakan,” tambah beliau lagi.