KUALA LUMPUR, – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 usahawan dilatih menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan perniagaan mereka tahun depan.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, usaha memperkukuh keupayaan usahawan perlu bermula dengan penguasaan asas perniagaan, termasuk memahami pasaran, produk serta keperluan operasi sebelum sesuatu perniagaan dimulakan.
Beliau berkata, bakal usahawan juga perlu membuat perancangan kewangan dan pemasaran yang teliti bagi memastikan modal digunakan secara berhemah serta mengurangkan risiko kerugian.
“Tahun depan, INSKEN, kalau tiada aral melintang, akan pergi ke seluruh negara untuk melatih sekurang-kurangnya 10,000 usahawan menerapkan AI dalam membina perniagaan mereka.
“Apabila sudah mempunyai ilmu, modal dan bersedia untuk memulakan perniagaan, kerajaan dan KUSKOP menyediakan pelbagai bentuk dana, geran serta pembiayaan bagi membantu rakyat Malaysia membina perniagaan,” katanya.