ALOR SETAR, – Sebanyak RM37.9 juta diperuntukkan menerusi 21 Program Pembangunan Perniagaan Koperasi pada 2026 bagi membantu koperasi di seluruh negara mengembangkan perniagaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan turut menyediakan lebih RM20 juta menerusi Belanjawan MADANI 2026 bagi geran pembangunan dan pembiayaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Inisiatif ini menyokong koperasi yang terlibat dalam aktiviti keterjaminan makanan, meningkatkan hasil pertanian serta menggalakkan penggunaan teknologi dalam pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Negeri Kedah (MAGK’26) di sini.
Dalam pada itu, Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) menyediakan dana RM176 juta menerusi lapan produk pembiayaan bagi menyokong perkembangan perniagaan koperasi.