A A A
Berita

Peruntukan RM57 bilion perkukuh daya tahan PMKS

KUALA LUMPUR, – Kemudahan pembiayaan berjumlah RM57 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi Belanjawan 2027, iaitu jumlah tertinggi setakat ini dilihat sebagai usaha dalam membantu sektor itu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata, peningkatan itu antara langkah kerajaan memperkukuh sektor PMKS yang menjadi pemacu penting ekonomi negara.

“Belanjawan 2027 ialah belanjawan PMKS Malaysia. Peruntukan pembiayaan meningkat daripada RM50 bilion kepada RM57 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah.

“Tiga perkara yang saya minta ialah lebih banyak dana dan sumber untuk PMKS, kos perniagaan yang lebih rendah serta kecekapan yang lebih tinggi, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Gala Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 di ibu negara.

Selain itu, Belanjawan 2027 turut menyediakan potongan cukai sehingga dua mata peratusan bagi syarikat di Malaysia, selain langkah mengurangkan beban kos perniagaan.

Kerajaan turut mengambil kira maklum balas pengusaha PMKS dalam usaha memastikan sektor itu diberikan ruang untuk terus berkembang meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, geoekonomi dan krisis tenaga.

Baca lagi…