Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF), iaitu kemudahan pembiayaan berjumlah RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk perusahaan mikro, yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat. BNM menyedari bahawa PKS dalam segmen tertentu mungkin mengalami gangguan operasi, cabaran aliran tunai serta kesukaran untuk memenuhi komitmen kewangan jangka pendek.
Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa perbincangan meja bulat dengan para ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada 21 April 2026, SME SRF akan menyediakan pembiayaan modal kerja bagi membantu perniagaan yang berdaya maju untuk meneruskan operasi dan mengharungi tempoh ketidakpastian ini. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan hingga RM750,000 untuk tempoh sehingga lima tahun, dengan kadar pembiayaan maksimum sebanyak 3.75% setahun (termasuk yuran jaminan). Pembiayaan ini akan disokong oleh jaminan hingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), terutamanya bagi PKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi.