KUALA LUMPUR, – Syarikat tempatan perlu beralih daripada sekadar menghasilkan produk kepada membangunkan produk yang direka dan dihasilkan rakyat tempatan bagi memperkukuh jenama Malaysia di pasaran global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, peralihan daripada konsep Made in Malaysia kepada Made by Malaysia penting untuk memastikan produk tempatan mempunyai identiti, nilai dan daya saing tersendiri.
“Mungkin model dulu ialah model kita membuat produk orang lain di negara kita, made in Malaysia. Kita harus beransur-ansur beralih kepada model made by Malaysia, produk yang direka, dicipta dan dibuat oleh rakyat Malaysia,” katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan program BrandQuest 2026 dan majlis apresiasi National Mark of Malaysian Brand di ibu negara, hari ini.