BUKIT MERTAJAM, – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan beberapa langkah bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menangani cabaran kos perniagaan susulan ketidaktentuan geopolitik.
Menteri berkenaan Steven Sim berkata langkah itu penting memandangkan dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis bekalan tenaga, gangguan rantaian bekalan, peperangan serta persaingan perniagaan yang semakin sengit.
“Kita hendak pastikan usahawan khususnya PMKS mempunyai lebih banyak sumber dana dan bagaimana kita boleh bantu PMKS mengurangkan kos menjalankan perniagaan, itu fokus saya sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) 2026 dan Buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat NADI Machang Bubok, di sini hari ini.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata selain itu, langkah lain yang sedang dilaksanakan termasuk memanjangkan tempoh pembaharuan lesen dan permit perniagaan tertentu bagi mengurangkan kerenah birokrasi.