SERDANG, – Sebanyak 66 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyertai pameran di Laman HPMKUSKOP @ MAHA 2026, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.
Penyertaan itu turut mencatat sejarah apabila MAHA 2026 menjadi penyertaan sulung KUSKOP dalam penganjuran pameran berkenaan menerusi sebuah pavilion khas yang mengetengahkan produk serta hasil keluaran usahawan PMKS.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan berkenaan memberi peluang kepada usahawan tempatan, khususnya dalam sektor agro dan pertanian, memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung selain memperluas pasaran.
Menurutnya, Laman HPMKUSKOP setakat ini merekodkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang beberapa hari penganjuran MAHA 2026.
“Saya tengok memang banyak jualan yang murah, orang kata harga ramah, jadi memberikan peluang kepada masyarakat untuk datang membeli barang-barang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Laman HPMKUSKOP @ MAHA 2026 di District 2, MAEPS, Serdang, hari ini.