KUALA LUMPUR, – Peruntukan dan pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2027 disifatkan mampu memperkukuh ekosistem serta meningkatkan daya saing Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Shifa Mohd Nor berkata, bantuan merangkumi geran, kemudahan pembiayaan mudah dan insentif cukai berpotensi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, geran khas pensijilan halal antara inisiatif penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti usahawan.
“Peluang paling besar yang menarik perhatian saya ialah geran pensijilan halal untuk PMKS sebanyak RM5,000 bagi permohonan kali pertama.
“Aspek halal amat penting di Malaysia kerana ia memberi nilai tambah, menjamin kesejahteraan dan memastikan pematuhan syariah. Geran ini secara tidak langsung memudahkan urusan usahawan,” katanya ketika ditemu bual di Wisma Berita, hari ini.