KUALA LUMPUR, – Strategi 3P merangkumi platform, permit dan promosi menjadi antara pendekatan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, pendekatan itu bukan hanya melibatkan penyenaraian produk di platform antarabangsa sahaja.
Fokus turut tertumpu kepada aspek pematuhan syarat kemasukan pasaran serta promosi bagi meningkatkan daya saing produk tempatan.
“Tiada gunanya kita meletakkan PKS Malaysia di platform global yang mempunyai berbilion-bilion syarikat dan produk disenaraikan jika akhirnya produk kita tenggelam dalam persaingan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50), di sini.