PETALING JAYA, – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkenalkan pelan tindakan SCALE bermula 2027 bagi menyokong dan memacu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke tahap yang lebih mampan.
Menterinya, Steven Sim berkata, pelan tindakan tersebut bertindak sebagai pelengkap kepada Strategi ABCD yang menumpukan kepada anjakan produktiviti, mempermudah birokrasi, serta meluaskan capaian modal dan akses pasaran.
Menurutnya, SCALE merangkumi lima fokus strategik iaitu penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, pemerkasaan kecerdasan buatan (AI), penetapan keperluan kandungan tempatan dan pemudah cara akses pembiayaan.
“Penakrifan semula PKS wajar dilaksanakan memandangkan definisi semasa yang diguna pakai sejak 2013 perlu diselaraskan mengikut perubahan landskap perniagaan hari ini, khususnya dalam era ledakan teknologi digital dan AI.
“Kerangka strategik pada tahun 2026 adalah ABCD, kerana ia merupakan penyelesaian segera kepada titik kesukaran utama yang dihadapi iaitu isu produktiviti, akses modal, masalah pasaran, serta karenah birokrasi. Itulah strategi ABCD bagi menangani kesukaran mendesak tersebut,” katanya.