A A A
Berita

Mampukah perniagaan bertahan tanpa pengasas?

Jangan hanya melahirkan usahawan baharu

Malaysia mempunyai pelbagai inisiatif untuk menggalakkan keusahawanan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing PMKS.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan baharu sememangnya penting untuk pertumbuhan ekonomi. Namun, perhatian yang sama perlu diberikan kepada kelangsungan perniagaan yang telah lama beroperasi.

Setiap perniagaan yang berjaya bertahan selama puluhan tahun telah membina sesuatu yang bernilai.

Selain menyediakan peluang pekerjaan, perniagaan tersebut mungkin mempunyai rangkaian pembekal, pelanggan tetap, kemahiran khusus dan jenama yang dipercayai masyarakat.

Jika sebuah perniagaan yang masih berpotensi terpaksa ditutup hanya kerana ketiadaan pengganti, negara berisiko kehilangan nilai ekonomi yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan.

Sudah tentu, tidak semua perniagaan perlu diwarisi oleh anak-anak. Ada yang lebih sesuai diteruskan melalui pengurus profesional, penjualan perniagaan atau bentuk pemilikan yang berbeza.

Matlamat utamanya bukan semata-mata memastikan perniagaan kekal dalam tangan keluarga. Matlamat yang lebih penting ialah memastikan perniagaan yang masih berdaya maju mempunyai peluang untuk terus beroperasi.

Dalam konteks ini, agensi pembangunan keusahawanan seperti SME Corp Malaysia, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN Nasional boleh mempertimbangkan penekanan yang lebih khusus terhadap persediaan penggantian kepimpinan dalam program berkaitan.

Latihan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemasaran, pembiayaan dan teknologi, tetapi turut merangkumi pembangunan pemimpin pelapis, pemindahan pengetahuan serta komunikasi antara generasi.

Universiti juga boleh memainkan peranan dengan menterjemahkan dapatan penyelidikan kepada panduan praktikal yang mudah digunakan oleh pemilik perniagaan kecil.

Baca lagi…