BUKIT MERTAJAM, – Usahawan masyarakat India boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM30,000 pada kadar keuntungan tiga peratus setahun bagi tempoh sehingga 12 bulan menerusi Skim Berkat Deepavali.
Permohonan dibuka mulai hari ini hingga 8 November menerusi Sistem Permohonan TEKUN Online atau pejabat cawangan TEKUN Nasional di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM30 juta bagi skim berkenaan sebagai modal pusingan kepada usahawan menjelang sambutan Deepavali.
“Deepavali tinggal kira-kira sebulan lagi. Jadi, kita harap usahawan di bazar Deepavali dan Little India dapat memanfaatkan peruntukan ini.
“Ia melibatkan peniaga makanan, pakaian, barangan perhiasan dan perniagaan lain berkaitan sambutan Deepavali,” katanya kepada pemberita pada Program MADANI Kita (PMK) Bukit Mertajam di Pusat Perniagaan Santuari, di sini.