KUALA LUMPUR, – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi, termasuk program Bumiputera Rapid Acceleration and Value Enhancement (BRAVE) bagi memperkukuh penyertaan usahawan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.
Timbalan Menterinya Datuk Mohamad Alamin berkata program BRAVE diperkenalkan dengan peruntukan sekali beri sebanyak RM15 juta bagi mempercepat pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang berpotensi tinggi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata hingga Jun lepas, sebanyak 27 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera menyertai program berkenaan, dan kerajaan menyasarkan lima hingga 10 syarikat disenaraikan menjelang 2030.
Menurutnya KUSKOP turut melaksanakan Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) 2.0, Dana Pemangkin Penskalaan PKS, Program PKSLestari serta Program Kesediaan PKS untuk Penyenaraian di Bursa Malaysia.