KUALA LUMPUR, – Sebanyak RM600 juta pembiayaan diluluskan kepada 33,000 usahawan dan koperasi di Sabah menerusi agensi pembiayaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian turut memperkukuh pembangunan usahawan di negeri itu menerusi inisiatif PowerUp 10K, dengan komitmen menyediakan dana pembiayaan RM15 bilion di peringkat nasional pada 2026.
“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) meluluskan pembiayaan sebanyak RM178.6 juta kepada 28,122 usahawan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Sehingga Julai, AIM akan menyalurkan tambahan kira-kira RM4 juta kepada 660 lagi usahawan.
Bagi TEKUN Nasional, pembiayaan RM70.5 juta telah diluluskan kepada 3,492 usahawan sehingga Jun. Sehingga Julai, tambahan lebih RM20 juta akan disalurkan, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan dari Januari hingga Julai hampir RM90 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Phoong Jin Zhe mengenai peruntukan atau pinjaman daripada program yang disediakan agensi di bawah KUSKOP kepada usahawan di Sabah, di Parlimen.