KUALA LUMPUR, – Khazanah Nasional Berhad menerusi Dana Impak telah menggerakkan pelaburan RM2.6 bilion bagi menyokong kira-kira 130 syarikat Malaysia dan syarikat berkaitan Malaysia serta lebih 4,200 bakat dengan 64 peratus daripadanya dalam pekerjaan berkemahiran.
Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak bertujuan memperkukuh keseluruhan ekosistem perniagaan Malaysia, termasuk pembangunan syarikat pemula, syarikat peringkat pertengahan dan syarikat lebih besar.
“Tiada negara yang harus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan semata-mata dan sebarang kemajuan memerlukan penglibatan seluruh ekosistem.
“Ini bermakna tumpuan perlu diberikan kepada pembangunan bakat dan syarikat Malaysia, dengan memangkin pertumbuhan syarikat-syarikat agar dapat berkembang dan berjaya.
“Inilah tujuan Dana Impak, memperkukuh keseluruhan ekosistem, daripada syarikat pemula dan syarikat peringkat pertengahan hinggalah syarikat yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.