Nilai jualan keseluruhan berjumlah RM66.88 juta dan kerjasama bernilai RM10.35 bilion menerusi 97 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dicapai sehingga hari kesembilan penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran selama 10 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu turut merekodkan kehadiran 4.3 juta pengunjung termasuk 1.72 juta belia.
Beliau berkata, MAHA 2026 merekodkan sebanyak 854,311 buah kenderaan sehingga jam 10 malam pada Sabtu.
“Mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 terus menjadi platform utama yang menghimpunkan ekosistem agro dan agromakanan negara, selain mengetengahkan perkembangan teknologi, inovasi dan peluang perniagaan dalam sektor tersebut,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan sempena majlis perasmian penutupan MAHA 2026 di MAEPS Serdang, Selangor pada Ahad.