Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sahaja berjaya menarik minat seluruh lapisan masyarakat malah berupaya mencapai matlamat untuk meletakkan sektor agromakanan negara setanding di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian membanggakan MAHA dapat dilihat menerusi jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi melepasi sasaran empat juta orang, selain nilai jualan keseluruhan dan nilai kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) juga melebihi sasaran awal.
“Saya sambut baik dan tentunya akan rujuk lagi perkembangan MAHA. Saya melihat minat yang begitu menarik orang ramai daripada pelbagai lapisan kaum terhadap MAHA.
“Malah ia satu program yang berjaya menarik minat barisan kepimpinan tertinggi negara termasuk raja, sultan dan Tuan Yang Terutama dari setiap negeri untuk hadir,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor.